Pesan Rasulullahﷺ - Jujur,Tekun Dalam Segala Usaha
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Rasulullahﷺ bersabda:
"Allah mengasihi hamba yang apabila melaksanakan sesuatu tugas dengan jujur,tekun dan mahir."
[Bayhaqi]
Ulasan: Kita diingatkan bahawa apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup, kita harus berusaha sedaya upaya untuk memberikan usaha yang terbaik yang kita mampu. Jika kita akan melakukan sesuatu, kita juga boleh cuba melakukannya ioo%. Kita sepatutnya mempunyai matlamat yang tinggi dan kita harus berusaha untuk cemerlang dalam setiap perkara yang kita lakukan. Orang ramai telah menjadi hebat dan cemerlang dalam profesion mereka kerana usaha tambahan yang mereka lakukan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan yang kedua terbaik dan kita tidak boleh berpuas hati dengan melakukan sesuatu secara sembarangan.
Walaupun kita tidak boleh menjadi sempurna dalam setiap perkara yang kita lakukan, itu tidak sepatutnya menjadikan kita malas dan lesu ketika melakukan sesuatu. Adalah menarik untuk diperhatikan bahawa Rasulullahﷺ menyebut bahawa Tuhan mengasihi seseorang apabila orang itu melakukan tugas tertentu dengan paling mahir. Jika kita ingin perbuatan kita dicintai oleh Allahﷻ, maka kita harus berusaha melakukan yang paling sempurna. Dalam riwayat lain, Rasulullahﷺ bersabda, “Sesungguhnya Allahﷻ telah memerintahkan kami untuk melakukan segala sesuatu dengan sebaik-baiknya.”
[Muslim]
- Daripada Aisyah رضي الله عنه, bahawa Rasulullahﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”
Alhamdulillah, segala puji bagi Allahﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullahﷺ, ahli keluarga baginda Rasulullahﷺ, sahabat baginda Rasulullahﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda Rasulullahﷺ.
Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki. Di dalam al-Qur’an Allahﷻ telah berfirman:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”
[at-Taubah:105]
Itqan (tekun) dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada sesorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.
Takhrij Hadith
Hadith tersebut ada diriwayatkan di dalam:
1] Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath, no. Hadith
2] Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman tetapi dengan sanad yang berbeza, no. Hadith 4929, 4930 dan 4931.
Hukum Hadith
Antara ulama’ yang menilai dan menghukum hadith ini adalah:
- Imam al-Thabarani mengatakan hadith ini tidak diriwayatkan daripada Hisyam melainkan melalui jalur Mus’ab dan Bisyr telah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 275/1]
- Imam al-Haithami berkata hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan pada sanadnya terdapat Mus’ab bin Thabit. Ibn Hibban berpendapat Mus’ab seorang perawi yang thiqah dan sekumpulan ulama’ mengdhaifkannya. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 98/4]
- Imam al-Bushiri menghukum sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan dhaifnya Mus’ab bin Thabit. [Lihat: Ithaf al-Khiyarah, 382/3]
- Syeikh al-Albani menyatakan jika pada sanad Imam al-Baihaqi itu bagi orang yang melihat keadaan perawi selain daripada Bisyr. Maka di sisiku sanad hadith ini adalah kuat kerana perkataan al-Munawi pada Bisyr tidaklah mencacatkan keadaan Bisyr itu. Tambahan pula, Bisyr adalah seorang yang thiqah dengan dirinya sendiri, bahkan lebih tinggi daripada itu lagi.
- Selain itu juga, bagi hadith ini terdapat sokongan atau syahid (daripada hadith yang lain) yang menguatkannya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi: [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 106/3]
وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ
Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.”
[Lihat: Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4932]
Setelah melihat pendapat sebahagian para ulama’ di atas, kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah dhaif yang ringan dan boleh menjadi hasan disebabkan terdapat sokongan pada hadith atau riwayat tersebut. Tambahan pula, keadaan perawi yang dipertikaikan itu telah berlaku khilaf dan ada pihak yang mengthiqahkannya antaranya Imam Ibn Hibban.
Kepentingan Itqan (Tekun)
Antara kepentingan tekun dalam bekerja:
Pertama: Tekun di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan adalah wasilah untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allahﷻ.
Kedua: Allahﷻ kasih kepada orang-orang yang tekun dalam dalam bekerja sebagaimana hadith di atas.
Ketiga: Barangsiapa yang tekun dalam pekerjaannya akan memudahkan urusan orang lain dan mengelakkan daripada keletihan.
Keempat: Sifat tekun akan membezakan antara orang yang betul-betul berusaha dan juga orang yang sambil lewa ketika bekerja.
Kelima: Tekun juga akan menambakan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan.
Penutup
Kesimpulannya, kita dituntut untuk itqan atau tekun dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita. Ini berdasarkan firman Allahﷻ:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
[al-An’am:162]
Akhirnya, semoga Allahﷻ menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan tekun dalam setiap perkara yang dilakukan. Amin.
Irsyad al-Hadith/Jawi



Comments
Post a Comment