NASIHAT - Sebaik-Baik Nasihat
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
SEBAIK-BAIK NASIHAT :
Sebaik-baik nasehat ialah nasihat yang diberikan kepada seseorang dengan cara tersembunyi dan tidak mengaibkan. Dalam beberapa hadis yang lain disebutkan suatu prinsip bahawa kita diperintahkan supaya menutupi aib dan menyembunyikan kesalahan orang lain. Rasulullahﷺ bersabda:
لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“ Tidaklah seseorang hamba itu menyembunyikan kesalahan (aib) hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya (aibnya) pada hari kiamat.”
(Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Birri wash-Shilati wal-Adab, 12/479, no. 4692)
Imam as-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) juga pernah berkata:
من وعظ أخاه سرا فقد نصحه وزانه ومن وعظه علانية فقد فضحه وشأنه
“ Sesiapa yang menasihati saudaranya secara senyap-senyap (rahsia),maka dia telah memberikan nasihat dan memuliakan. Dan sesiapa yang memberikan nasihat secara terang-terangan, maka sebenarnya dia telah membongkar aib dan merendahkannya.”
(an-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, 1/13)
Seorang da’ie atau muslim yang bijak apabila menegur kesalahan seseorang tidak dicanang dan dihebohkan kesalahan itu dan siapa pelakunya. Nasihat dilakukan hanya di antara dia dengan pelaku tersebut. Inilah sifat nasihat yang sebenar iaitu menampal yang koyak bukan menambah koyaknya. Menjernihkan yang keruh bukan mengeruhkan lagi keadaan.




Comments
Post a Comment