Pesan Rasulullah SAW - Adab Melawat / Ziarah Mereka Yang Sakit.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Nabi Muhammad bersabda:
“Apabila anda melawat orang sakit, yakinkan dia bahawa dia akan hidup kerana walaupun itu tidak mengubah apa-apa, ia akan menghiburkan dan menaikkan semangatnya?’
[Tirmidzi]
Ulasan: Nabi Pemurah mengajar kita beberapa adab menziarahi orang sakit. Kita harus mengatakan sesuatu untuk memberi orang yang sakit harapan dan menggembirakan mereka. Kata-kata yang baik dalam keadaan sedemikian dihargai, kerana itu akan memberikan sedikit keselesaan kepada orang yang sakit. Marilah kita bertanya: Bilakah kali terakhir kita melawat orang sakit di rumah mereka atau di hospital? Jika kita sakit, tidakkah kita menghargainya jika seseorang melawat kita? Sekiranya kita tidak dapat melawat, maka sekurang-kurangnya, kita harus menelefon dan memberi sokongan lisan kepada orang tersebut.Ketika menziarahi orang sakit, Islam menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi, antaranya tidak duduk terlalu lama ketika berziarah kerana dikhuatiri orang yang sakit itu merasa kurang selesa, keluh kesah dan menghalang pergerakannya. Akan tetapi tidaklah makruh duduk lama jika kunjungan itu dapat mententeramkan dan menghiburkan hatinya.
Selain itu, ketika berada di sisi orang yang sakit, kita disunatkan menyenangkan dan mententeramkan hatinya serta menyuruhnya supaya sentiasa bersabar kerana semua itu adalah sebahagian dari ujian Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya. Kita ambil iktibar kisah kesabaran Nabi Ayub Alaihissalam yang menderita sakit akibat penyakit gatal yang sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku Baginda akan tanggal tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian Baginda terpaksa menggaru dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, Baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh Baginda yang luka itu nanah yang berbau busuk sehingga orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu lalu mereka mengusir Nabi Ayub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang mendampinginya dan merawatnya.
Walaupun Nabi Ayub telah ditimpa penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya tetapi berkat kesabarannya dan imannya yang teguh terhadap Allah Subhanahu Wata'ala, maka akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala telah memakbulkan doa dan rayuannya lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah. Itulah sifat mulia yang patut kita contohi iaitu bersabar dan redha ketika menerima ujian sakit dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketahuilah saudara-saudara sekalian bahawa sakit itu mempunyai banyak hikmat kerana orang yang sakit, jika dia bersabar serta redha kepada ketentuan Allah maka dia akan mendapat pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu doa orang yang sakit adalah mustajab sehingga diumpamakan doa mereka itu seperti doa para malaikat dan kita disunatkan meminta daripada orang yang sakit itu supaya dia mendoakan bagi kita.
DOA UNTUK ORANG SAKIT
Maksudnya:
Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah penyakitnya, sembuhkanlah dia dalam keadaan Engkau Penyembuh, tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan daripada-Mu jua, iaitu penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesakitan.
Dengan nama Allah yang memiliki tanah bumi kami, dengan air liur sebahagian daripada kalangan kami, disembuhkan orang yang sakit daripada kalangan kami dengan izin Tuhan kami.
Dengan nama Allah, aku menjampi kamu dan Allahlah yang menyembuhkan kamu daripada segala penyakit yang ada pada kamu, daripada kejahatan wanita-wanita (ahli sihir) yang menghembus pada simpulan-simpulan tali, serta daripada kejahatan-kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.
Ya Allah, sembuhkanlah akannya dan sihatkanlah dia.


Comments
Post a Comment