Pentingnya Ilmu Untuk Bahagia


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

 اَلْحَمْدُ للّٰهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلَامُ عَلىَ اَشْرَفِ اْللأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِناَ وَمَوْلٰنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ، اَمَّا بَعْدُ.

Islam memandang berat masalah ilmu yang tidak diamalkan, dan buktinya terdapat banyak sekali hadis yang mencela orang-orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya, iaitu tidak mengamalkannya untuk kebaikan diri dan masyarakat sekeliling. Di antara hadis yang sering disebut orang adalah hadis yang membandingkan ilmu yang tidak diamalkan seumpama pohon yang tidak berbuah, manakala hadis yang lain pula menyebut bahawa di akhirat kelak ilmuwan yang tidak beramal dengan ilmunya akan ke neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Perkataan-perkataan ini adalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh yang menunjukkan bahawa tujuan sebenar ilmu itu adalah untuk diamalkan, dan apabila ia tidak diamalkan maka suatu kerosakan besar telah berlaku.

            Setiap Muslim bukan sahaja dituntut oleh agama menuntut ilmu tetapi juga dituntut memperbetulkan niatnya dalam menuntut ilmu, dan dalam melaksanakan penuntutan itu pula banyak adab yang telah digariskan oleh ahli-ahlinya sebagai panduan untuk penuntut ilmu. Kaum Muslimin menyedari hakikat bahawa perintah menuntut ilmu itu adalah merupakan sebesar-besar perintah Allah kepada manusia kerana ia adalah asas kepada segala perintah agama, maka ia tidak boleh dibuat secara sembrono—ada adab, aturan dan syarat yang mesti diraikan dalam melaksanakannya.

Amat jelas sekali kenapa Islam menekankan kepada ilmu dan amal—kerana kedua-dua itu adalah merupakan syarat mencapai kebahagiaan, sedangkan setiap manusia yang berakal, bahkan haiwan sekalipun mahu hidup bahagia. Maka, kalau kita kembali kepada persoalan asal di atas maka kita seharusnya bertanya ilmu yang bagaimanakah yang dimaksudkan itu kerana tidak semua ilmu itu menjuruskan ke arah pencapaian kebahagiaan. Ini adalah persoalan sebenar yang mesti dijawab kalau kita mahu mengetahui sebab berleluasanya kebejatan dan sebab manusia semakin tidak bahagia walaupun banyak ilmu, ramai orang berilmu dan memiliki kelulusan ilmiah yang tinggi. Jawapannya adalah kerana ilmu yang banyak dipelajari dan diajarkan selama ini itu bukanlah termasuk dalam kategori ilmu yang menjuruskan kepada kebahagiaan yang dimaksudkan itu. Maksudnya ada sesuatu yang amat tidak betul dengan tujuan pendidikan itu sendiri, dan perkara itu mesti dikenali pasti dan dibetulkan sebelum dapat kita tentukan isi kandungan dan proses yang sesuai untuk mencapai apa yang dimaksudkan.

Krisis kebejatan akhlak, kemerosotan nilai kemanusiaan dan keresahan jiwa yang melanda manusia hari ini pada hakikatnya adalah hasil tuaian yang kita perolehi daripada pendidikan yang kita sendiri rangka, rancang dan laksanakan. Maka apabila hasil tuaian itu tidak menepati apa yang kita semua harapkan, pastilah ada sesuatu yang tidak kena, dan menjadi tanggungjawab kita untuk bermuhasabah mencari di mana silapnya dengan bersungguh-sungguh. Malangnya bagi sesetengah pihak, kekuasaan duniawi lebih mereka utamakan sehingga sanggup mengabaikan usaha mencari penyelesaian sebenar terhadap suatu masalah, sedangkan pada hakikatnya masalah itu adalah berkenaan dengan nasib akhir setiap manusia.


RujukanL

Encik Md. Asham bin Ahmad

Comments

Popular posts from this blog

Qurrata a'yun" (قُرَّةَ أَعْيُنٍ)

Awal Agama Mengenal Allahﷻ.

Islam Dalam Perspektif Tentang Kehidupan